MOHAMMED yakin memiliki sedikit kelebihan berbanding lawannya, Miller. FOTO One Championship
MOHAMMED yakin memiliki sedikit kelebihan berbanding lawannya, Miller. FOTO One Championship
Meor Riduwan Meor Ahmad

“KAMI melalui tahun yang agak suram tapi saya dan Keanu Subba perlu menyerlah di Jakarta.”

Itu impian atlet Muay Thai negara, Mohammed Mahmoud yang akan menentang wakil Scotland, Andrew Miller dalam ONE Championship (ONE) ‘For Honor’ di Jakarta, Indonesia Jumaat ini.

Atlet berpangkalan di Kuala Lumpur itu akan bertarung dalam tiga pusingan siri super bantamweight yang menjadi satu daripada enam pertarungan awal wajib dalam acara blockbuster ini.

Masih segar dengan kekalahan terbaru kepada wakil Cyprus, Panicos Yusuf dalam pertarungan ONE: New Era, Mohammed berkata, semangatnya membara untuk membawa pulang kemenangan untuk Malaysia tahun ini.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa kemenangan untuk peminat dan negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan ONE Championship.

Lawannya, Miller dilaporkan menghabiskan sebahagian besar kerjaya profesionalnya dengan menetap dan berlatih di Pusat Latihan Fairtex di Pattaya, Thailand.

Bagi Mohamed, meskipun Miller dikelilingi oleh rakan atlet yang lebih baik, dia yakin memiliki sedikit kelebihan berbanding lawan berusia 27 tahun itu.

AKSI Mohammed (kiri) ketika menewaskan Stergos Mikkios dalam pertarungan ONE: Destiny of Champions, Disember tahun lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO One Championship
AKSI Mohammed (kiri) ketika menewaskan Stergos Mikkios dalam pertarungan ONE: Destiny of Champions, Disember tahun lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil. FOTO One Championship

“Dia (Miller) sememangnya seorang atlet hebat malah berlatih pula di kem latihan yang terbaik. Banyak masanya dihabiskan untuk berlatih di Thailand tetapi berdasarkan pertandingan sebelum ini, saya yakin dapat mencari kelemahannya.

“Kelebihan dia adalah ketinggiannya tetapi jurulatih saya sudah mengenalpasti kelemahannya, kita akan lihat masa pertarungan nanti,” katanya yang yang diberi jolokan ‘Jordan Boy’.

Misi Mohammed di Jakarta cukup jelas iaitu untuk membuktikan kehebatannya apabila melakukan KO (pukulan knockout) ke atas wakil Russia, Stergos Mikkios pada pusingan pertamanya, ONE: Destiny of Champions pada Disember tahun lalu.

Justeru dia memilih untuk berlatih di salah satu gimnasium seni mempertahankan diri terkemuka di Kuala Lumpur untuk persediaan ke Jakarta.

“Latihan di Thailand sebelum ini berjaya meningkatkan tenaga dan kekuatan tendangan saya tetapi mereka tidak mengajar saya teknik baru. Yang diajar adalah gerakan asas Muay Thai tetapi ia berkesan.

“Di Monarchy MMA, saya mendapat pasukan latihan yang lebih baik dan mempelajari beberapa teknik kickboxing di bawah jurulatih Conrado Furlan. Keadaan saya kini lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 9:36 PM