Mohammad bersama bapanya, Mahmoud Omar. FOTO Ihsan Mohammed Mahmoud
Mohammad bersama bapanya, Mahmoud Omar. FOTO Ihsan Mohammed Mahmoud
Meor Riduwan Meor Ahmad


STATUS jaguh Muay Thai dan 'Kick Boxing' bukan alasan untuk Mohammed Mahmoud memandang enteng cabaran peserta lain di Sukan SEA Manila hujung tahun ini.

Bagi atlet berusia 23 tahun itu, cabaran sengit menanti terutama dari peserta Thailand, Vietnam dan Kemboja selaku pemenang pingat emas di Sukan SEA 2017 (KL2017).

Justeru, tumpuannya kini pada latihan berpusat di Bukit Jalil, Kuala Lumpur di bawah seliaan ketua jurulatih dari Thailand bagi meningkatkan lagi tahap kecergasan dan stamina menjelang temasya dwi tahunan itu.

Menurutnya, dia akan mewakili Malaysia bagi kategori 63.5 kilogram (kg).

"Saya lebih menumpukan latihan kecergasan dan stamina untuk bina kekuatan dan kelajuan dalam melakukan serangan dan bertahan kerana asas Muay Thai sudah ada.

"Menerusi kejohanan di Hong Kong tempoh hari, sedikit-sebanyak saya dapat lihat aksi peserta yang rata-rata akan beraksi di Sukan SEA nanti termasuk dari Thailand dan Filipina.

"Filipina misalnya hantar peserta team A mereka yang kuat dengan skil 'kick boxing'," katanya dihubungi Arena Metro hari ini.

Dalam Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, Mohammed memenangi emas selepas menundukkan petarung dari Hong Kong, Chai Siew Gan dengan mata 4-1 bagi kategori 67 kg.

Dua rakan sepasukannya, Mohammad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal turut memenangi emas, kategori lelaki 48kg dan wanita 51 kg.

Ditanya harapannya pertama kali bakal mewakili Malaysia di Sukan SEA, Mohammed yakin dapat menyerlah dalam acara Muay Thai.

"Sasaran saya untuk memenangi pingat emas dan yakin mampu berjaya dengan latihan berpusat sejak tiga bulan lalu.

"Acara Muay Thai dalam Sukan SEA ini memang berbeza dengan pertarungan profesional yang saya sertai dalam One Championship (ONE).

"Peserta wajib pakai pelindung, jika kena serangan tidaklah begitu sakit berbanding pertarungan profesional," katanya.

Mohammed atau lebih dikenali 'Jordan Boy' dalam kalangan peminat MMA tempatan berkata, dia juga bersyukur walaupun terikat dengan kontrak, pihak ONE memahami dia perlu fokus untuk persiapan ke Sukan SEA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 6:00 PM