GOH LIU YING. — FOTO Fail
GOH LIU YING. — FOTO Fail
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS menyatakan kesediaan untuk menabur bakti dengan skuad campuran negara pada Piala Sudirman, pemain beregu campuran, Goh Liu Ying terpaksa akur dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang hanya menyenaraikan pemain naungan mereka saja.

Sebelum ini Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon dan bergerak secara profesional, mengakui berminat untuk menyertai pasukan itu.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, dia kini hanya akan fokus kepada kejohanan individu seperti biasa.

“Apa boleh buat, sekarang kami hanya akan fokus kepada kejohanan individu,” kata Liu Ying yang kini berada di Wuhan, China menyertai Kejohanan Badminton Asia.

Kelmarin, BAM mengumumkan pemain yang akan beraksi pada Piala Sudirman dengan mengetepikan pemain profesional seperti beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan perseorangan lelaki, Liew Daren.

BAM mengesahkan tindakan mereka adalah untuk memberi peluang kepada pemain muda membuktikan kemampuan pada kejohanan itu.

Malaysia diundi dalam Kumpulan 1D bersama China dan India, dengan hanya dua pasukan teratas layak ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 9:25 PM