GELAGAT  Guardiola (kanan)  dan Solskjaer di  Old Trafford, awal pagi tadi. - FOTO Agensi
GELAGAT Guardiola (kanan) dan Solskjaer di Old Trafford, awal pagi tadi. - FOTO Agensi
Reuters

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukannya dan Manchester City berada dalam kelas berbeza dengan menyifatkan skuad Pep Guardiola sebagai kelab terbaik dalam negara selepas mereka menang 2-0 di Old Trafford, awal pagi tadi.

"Mereka menetapkan tahap baru sejak dua musim lalu dan saya tak tahu berapa banyak mata telah mereka dapat. Apa yang dilakukan Guardola dengan pemainnya sangat hebat tetapi kami makin hampir dengan mereka dan kami dapat rasainya,” kata pengendali dari Norway itu.

Solskjaer yang menggesa pemainnya bangkit selepas dimalukan Everton pada Ahad lalu tampil aksi lebih agresif dan bekerja keras sehinggalah City mendahului menerusi Bernardo Silva pada minit ke-54.

"Kami memberikan tindak balas dengan baik tetapi akhirnya pasukan yang lebih bagus menang. Anda oleh melihat respon pemain dan penyokong tetapi tidak cukup bagus,” kata Solskjaer.

"Pemain mahu menunjukkan kemampuan mereka. Babak pertama positif dan kami puas hati dengan prestasi pasukan.

"Malangnya kami melepaskan dua gol mudah pada babak kedua yang sepatutnya boleh dielakkan. Semua orang boleh menyaksikan apa dilakukan City sejak dua tahun lalu,” katanya.

"Di sinilah perbezaannya. Itu sebabnya mereka berada di puncak dan mengapa kami masih di sini. Mereka menetapkan tahap baru. Tinggal di Manchester dengan situasi itu sangat tidak menyenangkan dan kami perlu mendekatkan jurang ini,” kata Solskjaer.

United tewas tujuh daripada sembilan perlawanan dalam semua kejohanan, statistik yang berbeza ketika Solskjaer mula mengendalikan pasukan itu pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 10:34 AM