MASA depan Solskjaer semakin hangat diperkatakan. FOTO AFP
MASA depan Solskjaer semakin hangat diperkatakan. FOTO AFP
AFP

Manchester: Ole Gunnar Solskjaer mengakui pasukannya tidak mencapai piawaian yang diperlukan selepas Machester United sekali lagi dimalukan di laman sendiri apabila tewas kepada seteru utama, Manchester City 0-2 di Old Trafford.

Gol sendiri Eric Bailly dan Bernardo Silva pada babak pertama jelas menampakkan kelemahan Solskjaer.

David De Gea sekurang-kurangnya menjadi penyelamat United apabila berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya ke gawang gol bagi mengelakkan mereka terus dimalukan seperti yang berlaku ketika tewas 0-5 kepada Liverpool kurang dua minggu lalu.

"Ada yang boleh diberi pujian tapi kami tidak berada di tahap kami. Tahap Piawaian itu perlu dinaikkan," kata Solskjaer yang mana posisinya sebagai jurulatih kini dalam penilaian ketat.

Pengendali dari Norway itu menegaskan beliau akan terus bersama kelab sehingga dimaklumkan oleh pihak pengurusan tertinggi mengenai statusnya itu.

"Kami perlu terus berada di depan. Saya tidak boleh lihat diri saya dan mengatakan ini adalah cara yang saya inginkan United bermain," katanya.

"Saya mempunyai hubungan yang baik sepanjang masa bersama kelab.

"Saya mahu yang terbaik untuk Manchester United. Selagi saya masih di sini, saya mahu lakukan apa yang boleh untuk memperbaiki perkara ini."

Solskjaer boleh menarik sedikit nafas apabila menang 3-0 ke tas Tottenham minggu lalu.

Namun United hanya menang satu dari enam perlawanan terakhir Liga Perdana mereka dan kini terkeluar daripada perebutan gelaran juara Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 8:43 AM