Hadin Azman (kiri) berjaya melepasi pemain Selangor dalam aksi Piala FA di Stadium Shah Alam. FOTO NSTP.
Hadin Azman (kiri) berjaya melepasi pemain Selangor dalam aksi Piala FA di Stadium Shah Alam. FOTO NSTP.
Asrol Awang


KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman mengesahkan terpaksa berehat kira-kira dua minggu berikutan kecederaan lutut kiri dialaminya ketika aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Selangor pada 16 April lalu.

Bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, kecederaan itu menyebabkan dia terlepas peluang membantu The Fighters dalam dua perlawanan selepas ini, masing-masing pada saingan Liga Super dan Piala FA.

"Kecederaan pada lutut kiri ini dialami ketika perlawanan menentang Selangor dan ia semakin serius sebaik tamat perlawanan.

"Ini juga adalah kecederaan kali pertama (dialami) musim ini dan diharap dalam tempoh dua minggu, saya dapat kembali bersama pasukan," kata pemain berusia 25 tahun itu.

Berikutan itu, Hadin dijangka terlepas aksi perlawanan menentang Melaka United dalam saingan Liga Super, Jumaat ini dan suku akhir pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur, pada 30 April ini.

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sudah menjaringkan empat gol, masing-masing tiga gol dalam Liga Super dan Piala FA (satu gol).

Mengulas kekalahan 1-2 The Fighters kepada Terengganu FC (TFC) kelmarin, Hadin mahu rakan sepasukan bangkit untuk kembali meraih mata.

Katanya, kemenangan dalam aksi seterusnya sangat penting bagi memperbaiki kedudukan kelab yang kini menghuni tangga ke-11 liga dengan mengutip tujuh mata daripada 10 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:22 PM