SUBAHAN (dua dari kanan) meninjau keadaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
SUBAHAN (dua dari kanan) meninjau keadaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Meor Riduwan Meor Ahmad

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) bertegas mahu teknologi rujukan video (video referral) digunakan dalam Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Siri Akhir Lelaki yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada 26 April hingga 4 Mei depan.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pihaknya berharap FIH mengkaji semula keputusan tidak membenarkan penggunaan teknologi itu.

Katanya, beliau difahamkan FIH menerusi surat baru-baru ini, memaklumkan tiada penggunaan rujukan video dalam semua perlawanan FIH Siri Akhir 2019 disebabkan tidak semua penganjur mempunyai kemudahan itu.

“Saya difahamkan pengurus pertandingan bahawa pihak FIH mengatakan dalam kejohanan ini kemungkinan besar tidak akan guna rujukan video.

“Ini satu kejutan bagi kami kerana MHC sudah siapkan segala keperluan untuk penggunaan rujukan video.

“Saya berpendapat untuk pertandingan peringkat ini tidak adil kalau tidak ada rujukan video dan akan menghantar surat bantahan kepada FIH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau keadaan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bersama wakil Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Hadir sama Pengarah Pertandingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Brian Fernandez.

Subahan yang berpuas hati dengan persediaan dan keadaan stadium hoki yang berada dalam keadaan baik menjelang kejohanan berkata, penggunaan rujukan video berkenaan membantu pasukan yang bertanding.

“Bola hoki ini kecil dan kadang kala mata kasar susah nak tengok kesalahan yang berlaku.

“Ini bukan kejohanan suka hati, sebaliknya kelayakan Olimpik. Jadi FIH mesti ambil berat perkara ini dan salinan surat juga akan dihantar kepada Konfederasi Hoki Asia.

“Mereka (FIH) perlu teliti semula, kalau boleh kita mahu teknologi ini digunakan dalam kejohanan di Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:15 AM