CHARLES LECLERC
CHARLES LECLERC
Reuters

KEMENANGAN sulung Formula Satu pastinya istimewa bagi mana-mana pelumba tetapi bagi Charles Leclerc ia jauh lebih menggembirakan jika memenanginya di China selepas terlepas peluang melakukannya di Bahrain.

Perlumbaan Ahad ini adalah yang ke-1,000 dalam sejarah kejuaraan itu dan pelumba Ferrari itu yang menduduki petak pertama dan mencatat masa sepusingan terpantas di Sakhir dua minggu lalu mampu melakar namanya dengan kemenangan itu.

“Saya harap keadaan kereta akan sebagus seperti di Bahrain supaya saya dapat keputusan yang kami harapkan," kata pelumba Monaco berusia 21 tahun itu.

Enjin sama yang digunakan Leclerc di Bahrain sekali lagi dipertaruhkan selepas jurutera Ferrari menemui litar pintas pada unit kawalan sistem suntikan udara yang menyebabkannya gagal meraih kemenangan.

Juara dunia lima kali Lewis Hamilton yang menang di Bahrain selepas Leclerc memperlahankan kenderaan selepas mendahului, mempunyai rekod cemerlang di China dan pastinya memburu kemenangan keenam di sana.

Pasukan juara Mercedes yang memenangi dua perlumbaan terawal musim ini dengan kemenangan satu-dua tetapi Ferrari dilihat pantas di Bahrain sehinggalah Leclerc kehilangan kuasa.

Biarpun memenangi lima daripada tujuh perlumbaan di China tetapi mereka sedar saingan kali ini lebih sengit.

“Kami gembira tetapi juga sedar betapa bertuahnya kami menang satu-dua," kata Hamilton selepas perlumbaan di Bahrain.

“Kami semua bekerja keras sepanjang hujung minggu seperti setiap hujung minggu lainnya tetapi prestasi kami masih kurang memberangsangkan.”

Rakan sepasukan, Valteri Bottas yang mendahului Hamilton dengan satu mata selepas memenangi perlumbaan di Australia juga turut memberi cabaran musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 12:34 PM