VIRGIL VAN DIJK
VIRGIL VAN DIJK
Reuters

PERTAHANAN Liverpool Virgil van Dijk berkata dia mengundi pemain Manchester City Raheem Sterling sebagai pemain tahunan PFA.

Van Dijk adalah antara calon pilihan anugerah itu selepas membantu Liverpool mengekalkan cabaran Liga Perdana Inggeris manakala Sterling menjaringkan 15 gol buat City, pencabar utama gelaran musim ini.

“Saya undi Raheem Sterling,” kata Van Dijk.

“Saya buat apa yang saya fikirkan dan saya rasa dia berhak memenanginya. Dia mempunyai musim yang menakjubkan. Saya juga mungkin mengundi Bernardo Silva serta beberapa pemain lain daripada Manchester City.

“Namun saya hanya mahu menjadi jujur. Saya fikir sebagai pemain, kualitinya semakin meningkat.”

Peraturan PFA melarang pemain daripada mengundi rakan sepasukan.

Liverpool yang mengekalkan 17 perlawanan tanpa bolos dalam liga musim ini, turut memburu gelaran Liga Juara-Juara dan akan menentang Porto pada suku akhir pertama awal pagi esok.

Van Dijk berkata dia hanya menumpukan kemenangan bersama pasukan dan bukannya kemenangan individu.

“Trofi individu? Saya tidak tahu,” kata pemain Belanda itu.

“Sudah tentu anda akan berbangga, ia satu pencapaian namun kerja keras di pusat latihan adalah apa yang kami lakukan bersama-sama.

“Adalah penting untuk menang sebagai pasukan, sebagai sebuah kelab. Saya harap sesuatu akan berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 12:41 PM