Pengurus Liverpool Juergen Klopp (kiri) dan Virgil van Dijk pada sesi latihan pasukan baru-baru ini. FOTO EPA.
Pengurus Liverpool Juergen Klopp (kiri) dan Virgil van Dijk pada sesi latihan pasukan baru-baru ini. FOTO EPA.
Reuters

BOS Liverpool Juergen Klopp berkata dia akan kecewa jika pemain pertahanan Virgil van Dijk tercicir dari senarai Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Inggeris (PFA) kerana pemain itu mengharungi ‘musim menakjubkan’.

Pemain Belanda itu berjaya memberi impak besar di bahagian pertahanan Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Southampton pada Januari 2018 dan membantu kelab Merseyside itu mengharungi 18 perlawanan tanpa bolos musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya terlepas 35 minit aksi Liga Perdana sepanjang musim ini ketika Liverpool semakin hampir memburu kejuaraan utama liga dalam tempoh 29 tahun.

“Adakah saya akan berasa sedih jika Van Dijk tidak menang anugerah Pemain Terbaik? Untuk dia memang ya, sudah tentu,” katanya.

“Dia mengharungi musim menakjubkan. Adakah dia berhak memperolehinya? Sudah tentu. Musim lalu apabila pemain (Manchester City) Kevin De Bruyne dan (Liverpool) Mo Salah kedua-duanya beraksi cemerlang dan Mo (Salah) memenanginya.

“Kami sangat gembira dengan perkembangan ini dan bukan kerana De Bruyne tewas, tetapi dia juga berhak memenanginya bersama. Saya fikir perkara sama berlaku lagi kali ini.

Van Dijk adalah antara enam pemain yang menjadi pilihan memenangi anugerah itu disamping rakan sepasukannya, Sadio Mane serta bintang Chelsea, Eden Hazard dan trio Manchester City Raheem Sterling, Sergio Aguero dan Bernardo Silva.

Pemenang akan ditentukan menerusi undian ahli PFA serta diumumkan pada 28 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 10:15 PM