Aksi pemain PKNP, Fadhil Idris (dua kanan) ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur malam tadi. FOTO Ihsan PKNP.
Aksi pemain PKNP, Fadhil Idris (dua kanan) ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur malam tadi. FOTO Ihsan PKNP.
Shamsul Kamal Amarudin


PKNP mencatat kemenangan pertama musim ini apabila menumpaskan Kuala Lumpur dengan jaringan 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung, malam tadi.

Pertembungan dua pasukan tercorot dalam Liga Super itu menyaksikan pasukan tuan rumah kelihatan lebih bernafsu mengasak ke kubu lawan.

Gol pertama pasukan tuan rumah diperolehi pada minit ketujuh menerusi Yashir Pinto yang merembat ke kiri gawang dari dalam kotak penalti hasil umpanan Hafiz Ramdan.

Jaringan itu membangkitkan semangat kelab konglomerat itu dengan melakukan asakan berterusan ke kubu lawan.

Hasilnya, G Mugenthiran menambah jaringan PKNP dengan berjaya menyudahkan hantaran Thomas Abbey dengan merembat ke arah gol lawan.

Pasukan pelawat terus dirundung malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pemain pertahanannya, Mohd Firdaus Faudzi, dilayangkan kad merah selepas mengasari Muhamad Farid Nezal pada minit ke-35.

Memasuki babak kedua, pasukan tuan rumah terus mengasak kubu lawan dan berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-63.

Ia terhasil apabila Giancarlo Lopez mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan lawan untuk mudah menumpaskan penjaga gol Sharbinee Allawee.

Ibarat malam yang serba tidak kena bagi Kuala Lumpur apabila seorang lagi pemainnya, Zaiful Abdul Hakim, diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua susulan mengasari Hafiz Ramdan pada minit ke-71.

Pasukan tuan rumah mengambil kesempatan daripada kehilangan dua pemain pasukan pelawat itu dengan Giancarlo Lopez menyudahkan hantaran lambung dari sebelah kanan yang tepat ke arahnya dalam kotak penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 12:13 AM