Penyerang Serbia, Luka Jovic (dua dari kiri) menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer pada perlawanan persahabatan di Berlin. FOTO AFP.
Penyerang Serbia, Luka Jovic (dua dari kiri) menjaringkan gol menewaskan penjaga gawang Jerman, Manuel Neuer pada perlawanan persahabatan di Berlin. FOTO AFP.
AFP

JARINGAN Leon Goretzka pada separuh masa kedua permainan menyelamatkan maruah jurulatih Joachim Loew daripada mencatat kekalahan memalukan ketika skuad wajah baru Jerman itu seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Serbia.

Berdepan kontroversi selepas keputusannya menyingkirkan pemain veteran Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Mueller daripada pasukan kebangsaan dua minggu lalu, Loew mengumumkan permulaan ‘era baru’ bagi skuadnya sebelum perlawanan itu.

“Secara keseluruhannya saya sangat berpuas hati dengan persembahan pemain. Kamu boleh lihat terdapat beberapa masalah dari segi komunikasi, namun ia perkara yang akan dapat diatasi dengan pengalaman di peringkat ini,” kata Loew kepada stesen penyiaran Jerman, RTL selepas perlawanan itu.

Barisan muda Jerman dilihat beraksi baik pada minit awal permainan namun Serbia menjaringkan gol pembukaan menerusi peluang pertama mereka ketika 12 minit permainan bermula.

Susulan sepakan sudut yang mengelirukan memberi ruang kepada Luka Jovic yang tidak dikawal di depan gol dan penyerang Eintracht Frankfurt menolak masuk gol pembukaan menewaskan Manuel Neuer.

Kemasukan pemain Jerman Marco Reus dan Leon Goretzka pada separuh masa kedua memaksa barisan pertahanan Serbia bekerja keras.

Beberapa percubaan pemain Jerman turut diselamatkan penjaga gawang Serbia, Marko Dmitrovic yang beraksi cemerlang.

Selepas Leroy Sane dan Ilkay Gundogan gagal memanfaatkan beberapa peluang menjaringkan gol, Goretzka menyamakan kedudukan pada minit ke 69 untuk menewaskan Dmitrovic.

“Secara umumnya, apabila kami menguasai bola di bahagian sayap, saya cuba mencari ruang di dalam kotak penalti selain memanfaatkan peluang menjaringkan gol.” kata Goretzka kepada RTL.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:07 PM