Jurulatih FELDA United FC,  Mohd Nidzam Jamil.
Jurulatih FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil.
Asrol Awang


LATIHAN intensif sepanjang minggu ini antara faktor kejayaan FELDA United FC mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan PJ City FC, 1-0, malam tadi. 

Jurulatih The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, komitmen tinggi yang dipersembahkan anak buahnya itu membuahkan hasil selepas gagal merekodkan kemenangan dalam empat perlawanan sebelumnya. 

"Kemenangan ini memberi semangat kepada semua pemain yang berusaha untuk memperbaiki kedudukan The Fighters dalam saingan liga selepas mencatat tiga keputusan seri dan tewas sekali.

"Sepanjang minggu ini, pemain begitu komited dan fokus untuk meraih tiga mata pertama dan kerja keras mereka berjaya disempurnakan selepas menewaskan PJ City.

"Walaupun kami bermain secara bertahan, kemenangan ini begitu bermakna kerana kami bertemu dengan pasukan yang memiliki barisan pemain berpengalaman," katanya. 

Sementara itu, pengendali PJ City, K Devan berkata, skuadnya tidak bernasib baik untuk meraih mata di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Maran.

 

Jurulatih kelab PJ City FC, K Devan. FOTO NSTP.
Jurulatih kelab PJ City FC, K Devan. FOTO NSTP.

Katanya, kelabnya memiliki lapan peluang termasuk terkena tiang untuk menjaringkan gol tetapi ia gagal disempurnakan jentera serangan untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata.

"Saya boleh katakan bahawa kami tidak memiliki tuah di tempat lawan dan berharap pemain bangkit untuk kembali mengutip mata pada perlawanan selepas ini," katanya.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal penyerang Jepun, Kei Ikeda minit ke-30 memastikan FELDA United mengutip tiga mata di laman sendiri. 

Selepas lima perlawanan, The Fighters kini menduduki tangga ketujuh liga dengan mengutip enam mata manakala PJ City pula di kedudukan kelapan dengan empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 2:09 PM