PELLEGRINI imbau memori indah bersama City. - FOTO Agensi
PELLEGRINI imbau memori indah bersama City. - FOTO Agensi
Agensi

MANUEL Pellegrini yakin aksi sengit final Piala Carabao tidak memberi kesan kepada Manchester City yang melayan kunjungan West Ham dalam aksi Liga Perdana, awal pagi Khamis ini.

City mengharungi tempoh perlawanan 120 minit dan penentuan penalti sebelum menewaskan Chelsea di Wembley, kelmarin.

Mereka turut kehilangan Fernandinho dan Aymeric Laporte akibat kecederaan dan bakal tersisih beberapa perlawanan penting tetapi pengurus Hammers, Pellegrini tahu pasukannya berdepan misi getir menentang bekas kelabnya.

“Sebagai pengurus, jika anda ada semua pemain dan boleh memilih yang terbaik, itu sudah cukup bagus,” katanya.

“Tetapi dengan satu atau dua kecederaan tidak akan mengubah pasukan mereka. Kami pernah beraksi dengan lapan atau sembilan kecederaan, jadi ia bukan masalah besar.”

Pellegrini akan kembali ke Stadium Etihad buat kali pertama sebagai pengurus pasukan lawan dan pengurus dari Chile itu pernah digelar 'This Charming Man' oleh penyokong City selepas muncul juara liga pada 2014.

“Tiga tahun yang hebat terutamanya selepas muncul juara liga, kami mengharungi musim yang sangat berjaya,” katanya.

“Bukan sahaja kami menjuarainya tetapi pasukan ini menjaringkan gol paling banyak dalam sejarah.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 2:15 PM