Penjaga gol PKNP FC menghalang percubaan pemain FELDA United FC Jayee John Okwunwanne (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka malam tadi. FOTO Bernama
Penjaga gol PKNP FC menghalang percubaan pemain FELDA United FC Jayee John Okwunwanne (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Jengka malam tadi. FOTO Bernama
Asrol Awang


KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil memuji kebangkitan yang ditunjukkan anak buahnya terutama pada babak kedua untuk memaksa keputusan seri 1-1 menentang PKNP FC, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kegagalan beraksi dengan baik termasuk silap percaturan pada separuh masa pertama hampir memakan diri sebelum bangkit di babak kedua. 

"Kami tidak bermain dengan baik dan percaturan juga tidak menjadi bagi menghalang lawan daripada memberi tekanan di kawasan FELDA United. 

"Namun, pujian perlu diberikan kepada semua pemain kerana mereka bangkit untuk memastikan sekurang-kurangnya kita meraih satu mata sebaik perlawanan berakhir," katanya. 

Mengulas gol penyamaan Hadin Azman yang juga kapten The Fighters, beliau berterima kasih kepada pemain tengah itu untuk mengelak kekalahan selepas dua perlawanan.  Katanya, komitmen Hadin banyak membantu kelab berkenaan untuk mencatat keputusan positif biarpun gagal mencapai misi kemenangan di laman sendiri. 

Jurulatih Felda United FC,  Mohd Nidzam Jamil
Jurulatih Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil

"Bagi saya, Hadin menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan pada masa sama menjaringkan gol penyamaan seperti yang dilakukannya ketika kami seri 1-1 dengan Selangor minggu lalu," katanya. 

Pada perlawanan itu, PKNP membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Ghana, Thomas Abbey pada minit ke-36 sebelum Hadin menyamakan kedudukan pada minit ke-68.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 3:33 PM