VICTOR LINDELOF
VICTOR LINDELOF
AFP

MANCHESTER: Rekod tanpa kalah Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara Manchester United diselamatkan dengan dua jaringan pada detik akhir, ketika pasukan itu bangkit dalam aksi penuh dramatik untuk seri 2-2 dengan Burnley, dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Keputusan itu bagaimanapun menamatkan rekod kemenangan Solskjaer dalam lapan perlawanan berturut-turut, sejak pengendali dari Norway itu mengambil alih tempat Jose Mourinho sebelum Krismas lalu.

Namun, Solskjaer boleh menarik nafas lega apabila sekurang-kurangnya berjaya mengekalkan tanpa kalah selepas Victor Lindelof menjaringkan gol penyamaan kedua pada minit ke-92, hasil gerakan yang bermula daripada hantaran Ashley Young.

Terdahulu, magis Solskjaer seakan-akan tidak menjadi dalam perlawanan itu, apabila Ashley Barnes membuka tirai jaringan buat Burnley menerusi percubaaan dari dalam kotak penalti pada minit ke-51.

Selepas minit ke-80 dan beberapa kekecewaan dialami Marcus Rashford yang gagal menyudahkan peluang bagi menjaringkan gol, Burnley mengukuhkan kedudukan mereka dengan meledak gol kedua, menerusi tandukan Chris Wood yang mendapat hantaran daripada Ashley Westwood minit ke-81.

United bagaimanapun mempamerkan kebangkitan menakjubkan dalam tempoh tiga minit terakhir, bermula dengan mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Jeff Hendrick mengasari Jesse Lingard, dan Paul Pogba tenang menyempurnakan sepakan itu. 

Serangan demi serangan dilakukan anak buah Solskjaer akhirnya membuahkan hasil apabila Lindelof menjaringkan gol penyamaan pada lewat babak kedua perlawanan.

United kini kekal di tangga keenam liga dan dua mata di belakang penghuni tempat keempat, Chelsea yang mempunyai satu perlawanan di tangan dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara, musim depan.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 8:45 AM