Pep Guardiola. FOTO AFP
Pep Guardiola. FOTO AFP
AFP

BURTON-ON-TRENT, United Kingdom: Pep Guardiola mengakui lega Manchester City mengesahkan tempat ke final Piala Liga tanpa dipalit isu kecederaan ketika meraih kemenangan 1-0 di gelanggang Burton yang ‘bahaya’, awal pagi tadi.

Skuad kendalian Guardiola membelasah Burton 9-0 pada aksi separuh akhir pertama di Etihad, awal bulan ini untuk mara dengan agregat besar 10-0 sekali gus menempah tiket ke Wembley, 12 bulan selepas menjulang gelaran sama musim lalu.

Beraksi di gelanggang lawan, Stadium Pirelli, City tampak tidak mempamerkan kekuatan penuh dengan gol tunggal ke atas pasukan divisyen tiga itu dijaringkan Sergio Aguero pada babak pertama.

Keputusan itu begitupun tidak meresahkan pengurus dari Sepanyol itu tetapi kebimbangannya lebih terarah kepada keadaan padang yang licin.

“Keadaan padang amat berbahaya, amat licin,” kata Guardiola. “Setiap perlawanan amat berbeza, kami memulakannya dengan kelebihan 9-0 tetapi saya tidak nampak kami kurang semangat.

“Kami bermain dengan serius, tiada sebarang kecederaan. Kami mengharungi perlawanan yang bagus, kami terlepas beberapa hantaran lewat tetapi pemain-pemain muda ini bermain dengan baik, prestasi mereka bagus.”

City yang membariskan ramai pemain muda di Burton dijadual bertemu Tottenham atau Chelsea di pentas final pada 24 Februari ini dengan Spurs memperoleh kelebihan hasil kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama.

“Penting untuk berada di final, tidak mudah untuk kembali ke final secara berturut-turut, tidak kira apa juga kejohanan,” kata Guardiola. “Kini kami akan melakukan persediaan yang baik dan cuba untuk memenanginya.”

Guardiola (kiri) memperkatakan sesuatu dengan pemainnya, Kevin De Bruyne.
Guardiola (kiri) memperkatakan sesuatu dengan pemainnya, Kevin De Bruyne.

Kemenangan besar secara agregat City ke atas Burton memecahkan rekod dalam aksi separuh akhir Piala Liga yang mengatasi rekod 9-0 yang dilakukan mereka sebelum ini ketika menewaskan West Ham pada 2014.

Sejak tewas kepada Leicester dalam kempen Liga Perdana pada 26 Disember lalu, City kini sudah memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan dengan pemburuan trofi musim ini diteruskan apabila bertemu Burnley pada pusingan empat Piala FA pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 11:43 AM