CESC FABREGAS
CESC FABREGAS
AFP

LONDON: Maurizio Sarri mengakui penghijrahan Cesc Fabregas meninggalkan lompong dalam skuadnya dan ia diburukkan dengan persembahan longlai Jorginho ketika Chelsea merakam kemenangan 2-1 ke atas Newcastle, minggu lalu.

Sarri berkata pemain berusia 31 tahun dari Sepanyol itu, yang menyertai kelab bergelut Ligue 1 Perancis, Monaco pada Jumaat menjadi pemain gantian yang sempurna buat Jorginho.

Jorginho yang juga pemain kebangsaan Itali dan menjadi tonggak di barisan tengah Sarri musim ini kehilangan bola beberapa kali ketika menentang Newcastle.

“Selepas 20 minit, dia sudah kehilangan banyak bola. Ia bukan sesuatu yang biasa dan saya fikir dia memiliki masalah,” kata Sarri. “Mungkin dia keletihan, saya tidak tahu.

“Tetapi jika Fabregas berada di bangku simpanan saya fikir pada babak kedua dia akan berada di padang berbanding Jorginho.”

Sarri berharap untuk mendapatkan pemain tengah berpengalaman sebagai pemain gantian terhadap Jorginho yang menggantikan tugas N'Golo Kante mengemudi bahagian tengah Chelsea dan turut memuji potensi pemain berusia 18 tahun dari Wales,  Ethan Ampadu.

“Pada masa depan, mungkin,” kata Sarri mengulas mengenai prospek Ampadu mengisi kekosongan berkenaan. “Bermain di bahagian tengah dalam pasukan kami tidak mudah. Kami perlu cuba dan terus mencuba dalam latihan. Tetapi saya fikir dia mampu melakukannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:13 PM