LAURENTIIS menganggap Sarri (gambar kecil) mahu menghapuskan kelab Napoli. Foto REUTERS
LAURENTIIS menganggap Sarri (gambar kecil) mahu menghapuskan kelab Napoli. Foto REUTERS
Reuters

PRESIDEN Napoli, Aurelio De Laurentiis berkata, bekas pengurus, Maurizio Sarri cuba 'menghapuskan' kelab itu dengan menandatangani deretan pemain mereka untuk pasukan barunya, Chelsea.

Sarri membimbing Napoli selama tiga musim sebelum menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu awal bulan ini dengan ketibaannya di Stamford Bridge kemudian diikuti bekas pemain tengah bekas kelabnya, Jorginho.

Ketika De Laurentiis berkata perpindahan Jorginho dipersetujui selepas berbincang dengan pengurus baru Napoli, Carlo Ancelotti, beliau mendakwa Sarri cuba untuk mendapatkan lebih banyak pemain Napoli utuk berhijrah ke Chelsea.

"Dia mahu mengambil semua pemain saya ke England dan menghapuskan kelab ini. Jadi terpaksa mengenakan syarat kepada Marina Granovskaia (Pengarah Chelsea).
"Dia mahu Jorginho dan saya melepaskan pemain itu selepas berbincang dengan Ancelotti yang kemudian berkata Sarri turut berminat mendapatkan (Amadou) Diawara dan (Marek) Hamsik," katanya.

Sarri akan membimbing Chelsea  buat kali pertama dalam aksi liga apabila bertemu penyandang juara, Manchester City untuk perebutan Perisai Komuniti pada 5 Ogos depan.

Kelab London itu membuka saingan liga bertemu Huddersfield Town pada 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 12:51 AM