Klopp lega menang ke atas Brighton. FOTO REUTERS
Klopp lega menang ke atas Brighton. FOTO REUTERS

EAST SUSSEX, England: Jurgen Klopp memuji persembahan ‘paling matang’ Liverpool pada musim ini selepas skuad kendaliannya meneruskan semula pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kemenangan kurang bermaya 1-0 di Brighton, semalam.

Reds yang mengungguli persada liga membuat permulaan buruk untuk 2019, gagal mempertahankan rekod bersih tanpa kalah musim ini selepas tumbang kepada juara bertahan Manchester City sebelum tersingkir daripada Piala FA di tangan Wolves.

Liverpool jauh daripada prestasi terbaik di Stadium Amex semalam, tetapi sepakan penalti babak kedua Mohamed Salah cukup untuk menjarakkan kembali jurang di puncak liga ke atas City kepada tujuh mata.

Klopp mengakui pasukannya boleh beraksi dengan lebih baik, namun tidak kisah dengan aksi kurang menghiburkan berdepan Brighton dengan mengatakan mereka 'bukan Harlem Globetrotters' - sebuah pasukan pertunjukan bola keranjang.

"Ia bukanlah aksi terbaik musim ini, tetapi dari sudut kematangan permainan, saya merasakan ia adalah aksi paling matang musim ini," katanya.

"Kami bukannya Circus Roncalli, dan bukannya juga Harlem Globetrotters. Kami perlu meraih keputusan.

"Pada hari yang baik, semua orang boleh menang, pada hari biasa tidak banyak pasukan boleh menang, dan pada hari buruk hanya sebilangan kecil boleh menang. Hari ini bukanlah hari yang buruk tetapi ia hanya hari yang sukar bagi kami.

"Ia menjadi hari yang sukar kerana kami terpaksa akui bahawa Brighton beraksi dengan baik."

Bagaimanapun, kelebihan tujuh mata itu mungkin tidak bertahan lama apabila skuad kendalian Pep Guardiola, City akan turun berentap dengan Wolves, awal pagi esok.  - AGENSI

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 9:19 PM