BERNARDESCHI (kiri) ledak gol untuk Juventus. FOTO/AFP
BERNARDESCHI (kiri) ledak gol untuk Juventus. FOTO/AFP
Reuters

MILAN: Juventus mara selangkah lagi dalam usaha meraih kejuaraan Piala Itali kali kelima berturut-turut dengan kemenangan 2-0 ke atas Bologna awal pagi tadi yang memastikan juara bertahan itu menyertai AC Milan dan Lazio ke suku akhir.

Gol sumbangan Federico Bernardeschi dan Moise Kean pada setiap babak memberikan Juve kemenangan selesa ketika jurulatih Massimiliano Allegri meninggalkan Cristiano Ronaldo dan Paulo Dybala di bangku simpanan.

Kelab Turin itu menang kejuaraan berganda liga dan piala di Itali bagi empat tahun terakhir dan menyasarkan untuk muncul pasukan pertama daripada lima liga utama Eropah memenangi piala domestik lima tahun berturut-turut, sekalipun Barcelona dan Paris Saint-Germain memburu objektif sama musim ini.

Bernardeschi menghukum kesilapan penjaga gol Bologna, Angelo da Costa untuk menyepak masuk ke dalam pintu gol yang ternganga selepas sembilan minit sebelum penyerang remaja Kean menampan masuk bola muntah untuk menjaringkan gol keduanya bersama Juventus pada awal babak kedua.

Juventus mara ke suku akhir buat tahun ke-12 berturut-turut, satu rekod pertandingan itu.

Terdahulu, AC Milan memastikan kemaraan ke pusingan berikutnya dengan kemenangan 2-0 selepas masa tambahan ke atas Sampdoria hasil dua gol voli penyerang gantian Patrick Cutrone. Lazio menyertai mereka selepas menang 4-1 ke atas pasukan divisyen empat Novara di Rome.

Cagliari atau Atalanta akan berdepan Juventus pada suku akhir hujung bulan ini, manakala Milan menempah pertemuan dengan Napoli atau Sassuolo dan Lazio berdepan pemenang antara Inter Milan dan Benevento, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 12:34 PM