AFP

Madrid: Real Madrid meningkatkan tekanan kepada pengendali Barcelona, Ronald Koeman ketika David Alaba meledak gol menarik untuk membantu kemenangan 2-1 dalam aksi Clasico di Camp Nou.

Jaringan Alaba meletakkan Real di depan dalam aksi sengit itu, dengan Lucas Vazquez menambah jaringan kedua pada penghujung perlawanan sebelum Sergio Aguero meledak gol pertamanya bersama Barcelona beberapa minit sebelum tamat.

Barca kini tewas dalam empat perlawanan Clasico berturut-turut buat pertama kali sejak 1965 dan berada di luar kelompok lapan pasukan teratas La Liga, lima mata di belakang Real yang kembali bersaing di puncak liga.

Selepas menewaskan Valencia dan memenangi perlawanan sukar dalam Liga Juara-Juara ke atas Dynamo Kiev minggu lalu, ia kekalahan yang menjadi tamparan hebat buat Barca dan Koeman, di mana masa depan pengendali itu sekali lagi dihimpit tekanan.

Sementara, kemenangan Madrid memulihkan semangat pasukan selepas kemenangan bergaya ke atas Shakhtar Donetsk untuk meneruskan persaingan dalam La Liga.

"Perlawanan ini sentiasa sengit," kata Koeman.

"Mereka mempunyai kekuatan mereka, kami mempunyai kekuatan kami dan selebihnya ditentukan menerusi keputusan. Agak memalukan kerana kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol."

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata: "Kami beraksi berdepan pasukan hebat, kami bergelut, tetapi kami berjaya mengatasinya."

Perlawanan ini adalah aksi liga pertama antara kedua-dua kelab tanpa Lionel Messi atau Sergio Ramos sejak 2005 dan masih terdapat penampilan pemain senior antaranya Luka Modric, Toni Kroos, Karim Benzema, Gerard Pique dan Sergio Busquets di antara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:59 AM
Pemain pertahanan Real Madrid, David Alaba meraikan jaringan berdepan Barcelona dalam aksi La Liga. FOTO AFP
Pemain pertahanan Real Madrid, David Alaba meraikan jaringan berdepan Barcelona dalam aksi La Liga. FOTO AFP