ROBERT LEWANDOWSKI
ROBERT LEWANDOWSKI
Agensi

MUNICH: Robert Lewandowski menegaskan komitmen jangka panjang kepada Bayern Munich dengan tidak menolak kemungkinan menghabiskan kariernya bersama juara Jerman itu.

Lewandowski, 30, dikaitkan dengan beberapa gergasi Eropah sepanjang musim panas, namun sudah tidak menoleh ke belakang sejak berbincang bersama pengendali Niko Kovac dan pengarah sukan Hasan Salihamidzic bagi memutuskan masa depannya pada Julai lalu.

“Terdapat peluang cerah untuk saya kekal di sini untuk satu tempoh panjang,” kata Lewandowski yang mana kontrak semasanya akan berakhir pada musim panas 2021.

“Saya tidak terfikir untuk untuk ke mana-mana. Sejak melenyapkan spekulasi, hati saya 100 peratus bersama Bayern. Malah, saya melihat tidak mustahil karier saya berakhir di Bayern.”

Kegembiraannya dibuktikan dengan prestasi cemerlang di atas padang yang mana ketika ini dia menghasilkan purata gol setiap 97 minit.

Penyerang kebangsaan Poland itu sudah mencetak 22 gol setakat ini (10 gol Bundesliga, lapan Liga Juara-Juara, satu Piala Jerman dan tiga untuk Supercup) membabitkan 24 perlawanan Bayern dan hanya dua gol di belakang penyerang Borussia Dortmund, Paco Alcacer dan Luka Jovic (Eintracht Frankfurt) dalam senarai penjaring Bundesliga.

Sejak berhijrah dari Dortmund ke Bayern pada musim panas 2014, penyerang prolifik nombor 9 itu sudah menghimpun keseluruhan 173 gol dalam 219 penampilan semua kejohanan, hanya lima gol terpisah daripada memintas rekod penjaring terbanyak bukan dari Jerman yang dipegang bekas tonggak kelab itu  Claudio Pizarro (194 gol dalam 460 aksi).

Lewandowski yang menyambar anugerah Penjaring Terbanyak Bundesliga untuk kali ketiga berturut-turut musim lalu, akan meneruskan pemburuan itu apabila Bayern berkunjung ke Hoffenheim pada 18 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 8:23 AM