Jusvir sahkan padang tidak boleh digunakan. FOTO NSTP
Jusvir sahkan padang tidak boleh digunakan. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kurang seminggu sebelum bermulanya Liga Hoki Malaysia, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membuat keputusan untuk tidak menggunakan Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil untuk perebutan Piala Tan Sri P Alagendra, 3 Januari ini.

 Pengarah Kejohanan, Jusvir Singh yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat keadaan permukaan padang yang tidak rata sekali gus kurang sesuai untuk kegunaan perlawanan kompetitif.

 "Selepas Jawatankuasa Pertandingan MHC melakukan melakukan penilaian ke atas Padang 2, kami mendapati padang itu tidak sesuai untuk digunakan.

 "Malah sebenarnya masalah ini sudah disedari ketika kejohanan bawah 14 tahun sebelum ini yang mana kami juga mengambil keputusan untuk mengubah venue bagi beberapa perlawanan di Padang 2.

  "Jadi untuk saingan Piala Tan Sri P Alagendra, kesemua tiga perlawanan kalah mati akan berlangsung di Padang 1 bermula jam 4, 6 dan 8 malam.

 "Kesemua pasukan yang terbabit juga sudah dimaklumkan mengenai perubahan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

  Bagi saingan liga pula yang bermula 11 Januari ini, Jusvir berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama kesemua pasukan yang terbabit.

 "Oleh kerana Piala Tan Sri P Alagendara di bawah seliaan kami, maka kami membuat keputusan untuk tidak menggunakan Padang 2.

 "Tapi untuk saingan liga, ia terletak di bawah keputusan pasukan yang terbabit sama ada hendak terus menggunakan Padang 2 atau padang lain," katanya.

 

Piala Tan Sri P Alagendra 

3 Januari

Pusingan kalah mati

Maybank mln UiTM, 4 ptg

UniKL mln TNB Thunderbolts, 6 ptg 

Nurinsafi mln THT, 8 mlm

(Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil) 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 8:08 PM