PEMAIN Bayern Munich, Kingsley Coman (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Ajax di Stadium Johan Cruyff. FOTO AFP
PEMAIN Bayern Munich, Kingsley Coman (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi menentang Ajax di Stadium Johan Cruyff. FOTO AFP

AMSTERDAM: Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac menegaskan jaringan Kingsley Coman pada penghujung perlawanan ketika meraih keputusan dramatik 3-3 di Ajax, menutup spekulasi mengenai persaraan awal pemain berusia 22 tahun itu.

Coman membantu Bayern meraih kedudukan teratas Kumpulan E, Liga Juara-Juara dalam aksi tegang di Amsterdam, dengan kedua-dua pasukan menamatkan permainan dengan 10 pemain.

Pemain sayap Perancis itu hadir dari bangku simpanan untuk membolehkan Bayern mendahului 3-2, pada minit ke-90 sebelum Nicolas Tagliafico menyamakan kedudukan untuk Ajax pada minit kelima, masa kecederaan. 

Jaringannya di Amsterdam adalah yang pertama sejak dilanda kecederaan berturut-turut pada Februari dan Ogos lalu dan aksi pagi tadi adalah penampilan ketiganya.

"Dia ditakdirkan mendapat kecederaan yang teruk. Saya fikir jaringan ini memberi jawapan terhadap spekulasi persaraannya. Saya tidak fikir dia akan bersara dalam masa terdekat," kata Kovac.

Selepas jaringan Robert Lewandowski pada separuh masa pertama (minit ke-13), Ajax bangkit mendahului 2-1 selepas rehat, menerusi Dusan Tadic yang membuka jaringan pada minit ke-61 dan gol kedua peribadinya menerusi penalti pada minit ke-82.

Kemudian Lewandowski menyamakan kedudukan 2-2, apabila menyempurnakan penalti ketika perlawanan berbaki tiga minit, sebelum Coman meledak jaringan pada minit ke-90 untuk membolehkan kelab Jerman itu mendahului 3-2.

Tagliafico melengkapkan aksi penuh dramatik apabila menyamakan kedudukan 3-3 pada masa kecederaan.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dengan pemain Ajax, Maximilian Woeber dilayangkan kad merah pada minit ke-67, diikuti Thomas Mueller (minit ke-75) susulan terjahan berbahaya.

"Ia perlawanan yang sensasi. Penonton disajikan dengan persembahan yang hebat, enam jaringan dan dua kad merah," kata Kovac.

"Saya fikir kami mempunyai peluang lebih baik. Kami seharusnya menang, namun lawan turut mempamerkan permainan yang bagus." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:22 AM