PEMAIN Ajax meraikan jaringan Mazraoui ketika menentang Benfica. -Foto Reuters
PEMAIN Ajax meraikan jaringan Mazraoui ketika menentang Benfica. -Foto Reuters
Reuters

AMSTERDAM: Gol tunggal Noussair Mazraoui pada masa kecederaan sudah cukup untuk memastikan Ajax melakar kemenangan 1-0 ke atas Benfica dalam pertembungan Kumpulan E Liga Juara-Juara Eropah di Arena Johan Cruyff, awal pagi tadi.

Rembatan dari luar kotak penalti yang dilakukan Mazraoui adalah gol keduanya dalam saingan Eropah itu musim ini yang membolehkan Ajax kini memimpin carta kumpulan bersama pesaing terdekat Bayern Munich.

Kedua-dua pasukan itu kini mengumpul tujuh mata namun dibezakan dengan jumlah jaringan, manakala Benfica kekal di tangga selepas sekadar meraih tiga mata dan AEK di kedudukan tercorot. 

Bagaimanapun, Benfica ternyata lebih dominan menguasai tempoh perlawanan dengan memiliki beberapa peluang terbaik untuk memecah kebuntuan.

Namun, ketumpulan jentera serangan banyak mengecewakan pasukan yang akhirnya bijak dimanfaatkan oleh pasukan tuan rumah untuk memburu gol.

Kesempatan terbaik pelawat hadir menerusi percubaan Silva dan Haris Seferovic namun kekentalan benteng pertahanan Ajax, Nicolas Tagliafico berjaya menidakkan gol pelawat selepas dia pantas menyelamatkan bola di atas garisan gol.

Perlawanan bertambah rancak sebaik babak kedua bersambung dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Akhirnya gol yang dicari terhasil dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan apabila Mazraoui yang juga tonggak pertahanan tengah naik ke atas dan melepaskan satu rembatan deras yang terkena pertahanan pelawat sebelum menerjah masuk untuk menewaskan penjaga gol Benfica.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 11:15 AM