PEMAIN Juventus, Mario Mandzukic (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Inter Milan di Turin. FOTO EPA
PEMAIN Juventus, Mario Mandzukic (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menentang Inter Milan di Turin. FOTO EPA
AFP

MILAN: Mario Mandzukic meledak gol tunggal kemenangan 1-0 sekali gus membantu Juventus membantutkan cabaran Inter Milan untuk mendahului Serie A dengan jurang 11 mata.

Inter kendalian Luciano Spalletti yang menghuni tangga ketiga kini ketinggalan 14 mata selepas kekalahan pada pertemuan tetangga d’Italia itu, serta memberi tamparan hebat kepada harapan mereka untuk memburu gelaran pertama sejak 2010.

Juventus yang belum tewas kini mengumpul 43 mata daripada 15 perlawanan – 11 mata mengatasi Napoli di tangga kedua yang akan bertemu pasukan kelompok bawah Frosinone hari ini – dan satu-satunya perlawanan yang menyaksikan pendahulu itu tercicir mata ialah ketika seri di laman sendiri menentang Genoa.

Tandukan pemain skuad naib juara Piala Dunia, Mandzukic pada minit ke-66 yang berpunca daripada hantaran bekas pemain Inter, Joao Cancelo sudah cukup untuk menjadi pemisah aksi di Stadium Allianz.

“Mandzukic antara pemain yang walaupun bukan pada prestasi terbaiknya, masih mampu mencetus impak dalam perlawanan,” kata pengendali Juventus, Massimiliano Allegri.

“Kami sedar kejuaraan tidak berakhir hari ini, tapi kami masih perlu mengelak daripada kekalahan.”

Inter mensia-siakan deretan peluang pada babak pertama dalam usaha mereka memburu kemenangan pertama di Turin sejak November 2012.

Anak buah Spalletti kini berdepan aksi Liga Juara-Juara menentang PSV Eindhoven di San Siro, Selasa ini.

Juventus sudah mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati menjelang kunjungan ke laman Young Boys di Switzerland pertengahan minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 8:11 AM