ROGER FEDERER
ROGER FEDERER
Reuters

LONDON: Juara enam kali Roger Federer terselamat daripada tersingkir awal di Final ATP apabila dia mengatasi Dominic Thiem dari Austria 6-2, 6-3 di Arena 02 Arena, awal pagi tadi.

Bintang Switzerland itu berada dalam kedudukan sukar selepas tewas kepada Kei Nishikori pada aksi pembukaan perlawanan round-robin - kekalahan straight set pertamanya dalam 46 perlawanan peringkat kumpulan di kejohanan penutup musim itu.

Satu lagi kekalahan akan menutup ruang buatnya mara ke separuh akhir buat kali ke-15 dalam 16 penampilan di kejohanan itu.

Bagaimanapun 48 jam selepas itu, pemain 37 tahun itu kembali mempamerkan aksi mantapnya untuk mengatasi Thiem.

“Saya amat gembira dengan kebangkitan selepas perlawanan sebelum ini,” kata Federer.

“Berdepan Nishikori, sepatutnya saya melihatnya dengan positif tetapi saya melakukan sebaliknya.

“Ia mengecewakan tetapi ia sudah berlaku. Hari ini (semalam) saya lebih positif dan seronok di atas gelanggang.

“Saya gembira bermain di London dan saya sering mengingatkan diri saya yang ia adalah satu keistimewaan dapat bermain di sini. Saya harap saya menunjukkannya.”

Federer akan berdepan Kevin Anderson dari Afrika Selatan pada perlawanan terakhirnya dalam kumpulan Lleyton Hewitt esok. Anderson sebelum itu menewaskan bintang Jepun Kei Nishikori 6-0 6-1 untuk kemenangan keduanya.

Federer berpeluang menebus kekalahannya di Wimbledon tahun ini kepada Anderson untuk mara ke separuh akhir walaupun keempat-empat pemain dalam kumpulan itu turut mempunyai peluang secara matematik untuk mara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:32 AM