(DARI KANAN) Sandro, Augusto dan Rafinha dipanggil Tite. FOTO/AGENSI
(DARI KANAN) Sandro, Augusto dan Rafinha dipanggil Tite. FOTO/AGENSI
AFP

RIO DE JANEIRO: Jurulatih Brazil, Tite terpaksa membuat perubahan saat akhir dalam skuadnya yang berdepan Uruguay dan Cameroon pada aksi persahabatan di England selepas pemain Barcelona, Philippe Coutinho dan dua pemain Real Madrid, Marcelo serta Casemiro menarik diri kerana cedera.

Tite memanggil pemain tengah Barcelona, Rafinha semalam untuk menggantikan Casemiro, yang mengalami kecederaan buku lali dan diketepikan selama beberapa minggu.

Beliau turut memanggil pemain tengah Beijing Guoan, Renato Augusto dan pertahanan kiri Juventus, Alex Sandro.

Ketiadaan Coutinho sudah dijangka selepas Barca mengumumkan minggu lalu dia mengalami masalah hamstring yang menyaksikannya berehat dua minggu.

Brazil akan menentang Uruguay di gelanggang Arsenal, Stadium Emirates awal pagi Sabtu ini sebelum berdepan Cameroon di Milton Keynes empat hari kemudian.

Ia dua perlawanan terakhir mereka tahun ini selepas menang empat aksi persahabatan berturut-turut sejak tersingkir pada suku akhir Piala Dunia apabila mereka tunduk 1-2 di tangan Belgium.

Brazil menewaskan Amerika Syarikat 2-0, El Salvador 5-0, Arab Saudi 2-0 dan Argentina 1-0 dalam empat aksi terakhir mereka.

Pasukan itu dibentuk bagi menghadapi Copa America tahun depan yang mana mereka menjadi tuan rumah dari 14 Jun hingga 7 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 3:29 PM