Pengendali Brazil, Tite memberi arahan kepada Neymar dalam salah satu aksi pasukan itu. FOTO Agensi
Pengendali Brazil, Tite memberi arahan kepada Neymar dalam salah satu aksi pasukan itu. FOTO Agensi
AFP

Montevideo: Brazil melayan kunjungan Colombia di Sao Paulo pagi Jumaat ini, menyedari kemenangan akan memberi tiket ke Qatar berbaki enam perlawanan kelayakan Piala Dunia selepas mencipta rekod sempurna setakat ini.

Seri sekalipun buat skuad Selecao sudah memadai jika Uruguay tewas kepada Argentina pada hari sama dan media Brazil melaporkan jurulatih pasukan Tite sudah merancang strategi menjelang Piala Arab di Qatar bulan depan sekali gus berpeluang memeriksa venue dan kemudahan Piala Dunia.

Tite tidak begitu memikirkan mengenai aksi berdepan musuh tradisi, Argentina di San Juan minggu depan.

"Kami mempunyai dua perlawanan penting berdepan dua pasukan yang pada saya adalah di peringkat tertinggi," kata Tite.

"Prestasi baik dan keputusan baik menentang Colombia akan memberikan kami kelebihan dari segi persediaan yang baik untuk berdepan Argentina."

Tite mencipta kejutan dengan menyenaraikan pemain Barcelona, Philippe Coutinho dalam pasukannya selepas lebih setahun tersisih kebanyakannya akibat gagal beraksi dalam tempoh sembilan bulan kerana kecederaan lutut yang memerlukan tiga pembedahan.

Brazil menguasai saingan kumpulan kelayakan Piala Dunia CONMEBOL, menang 10 daripada 11 perlawanan dan menjaringkan 26 gol.

Mereka terikat 0-0 berdepan Colombia bulan lalu yang menamatkan rentetan kemenangan sembilan perlawanan.

Seperti Brazil, pasukan di tangga kedua, Argentina juga mungkin melepasi kelayakan bulan ini dan memerlukan kemenangan untuk meneruskan saingan.

Mereka mungkin beraksi tanpa bintang mereka Lionel Messi yang mengalami kecederaan lutut dan hamstring serta terlepas dua aksi baru-baru ini di peringkat kelab bersama Paris Saint-Germain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:38 AM