Firdaus kecewa. FOTO SAIRIEN NAFIS
Firdaus kecewa. FOTO SAIRIEN NAFIS
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Menyedihkan!. Mungkin itu situasi yang boleh menggambarkan mengenai jumlah penyertaan pasukan bagi saingan Piala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk musim 2019.

Selepas 14 pasukan sah bertanding bagi edisi 2018 - sebelum dua daripadanya digugurkan susulan gagal menghadiri perlawanan, jumlah penyertaan jatuh mendadak apabila hanya enam pasukan mengesahkan pertandingan setakat ini.

Enam pasukan terbabit adalah Terengganu FC II (TFCII), ATM, Kuching FA, Young Fighters FC, Perlis dan MPKB.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd Firdaus Mohamed nyata kecewa dengan sambutan ‘dingin’ yang ditunjukkan khasnya daripada pasukan negeri yang tidak memiliki pasukan pembangunan.

“Situasi ini menimbulkan kebimbangan kerana selama ini Piala FAM menjadi platform kepada pemain muda untuk mengembangkan potensi dan pemain lebih usia meneruskan karier mereka dalam bola sepak.

“Sepatutnya saingan ini disertai lebih banyak pasukan, selari dengan hasrat Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin namun sebaliknya yang berlaku.

“Jika ini terjadi, sudah tentu semakin kurang tempat untuk pemain beraksi dan menimbulkan persepsi negatif.

“Kita memikirkan nasib lambakan pemain Piala Presiden yang gagal menempatkan diri dalam pasukan utama. Jika ada banyak pasukan bertanding, setidak-tidaknya ia (Piala FAM) akan membuka banyak peluang kepada mereka,” katanya, hari ini.

Jadi, Mohd Firdaus mengharapkan pasukan negeri agar dapat membantu ‘membekalkan’ pasukan untuk saingan Piala FAM bagi musim depan sekali gus merancakkan lagi persaingan dalam pertandingan terbabit.

“Saya mengharapkan pasukan negeri yang tidak memiliki pasukan pembangunan dapat melaburkan sedikit bajet yang diperuntukkan untuk semusim bagi membentuk pasukan Piala FAM.

“Perbelanjaan bagi pertandingan itu tidak begitu tinggi, cukuplah dengan RM2 juta sudah mampu menguruskan pasukan,” katanya yang mengesahkan penyertaan masih dibuka sehingga akhir November ini.

Terdahulu, Sukan NSTP melaporkan satu pasukan Piala FAM, PJ Rangers sah menarik diri daripada saingan divisyen tiga itu untuk musim 2019.

Pengesahan penarikan penyertaan mereka daripada pertandingan itu yang mula disertai sejak 2015 itu diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 3:18 PM