TUNKU Ismail harap PBNP  kemuka rayuan kepada jawatankuasa tatatertib.
TUNKU Ismail harap PBNP kemuka rayuan kepada jawatankuasa tatatertib.
Syafiq Aznan


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) berharap jawatankuasa rayuan badan induk itu dapat meringankan hukuman ke atas Pahang yang dilarang memohon lesen Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua tahun.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui tempoh hukuman yang dijatuhkan jawatankuasa tatatertib itu terlalu lama dengan beliau berharap Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengemukakan rayuan.

“Saya berharap jawatankuasa tatatertib dan rayuan dapat mempertimbangkan pandangan saya dan meringankan hukuman pasukan Pahang jika boleh. Pahang pasukan yang hebat dan amat berpotensi.

“Mereka pasukan yang hebat untuk mewakili negara dalam pertandingan AFC dan boleh membantu ranking pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” kata Tunku Ismail menerusi satu kenyataan di laman Facebook badan induk itu, hari ini.

Terdahulu, ‘kedegilan’ Pahang yang enggan menerima tawaran FAM untuk mengisi satu lagi slot pasukan ke saingan Piala AFC 2018 membawa padah selepas pasukan itu tidak dibenarkan untuk memohon Lesen Kelab AFC selama dua tahun.

Hukuman itu dijatuhkan jawatankuasa tatatertib selepas Pahang didapati melanggar Artikel 14 Statut FAM kerana ingkar arahan badan induk itu apabila enggan atau gagal mendaftarkan pasukan ke pertandingan Piala AFC musim depan.

Mengikut peruntukkan statut FAM, Artikel 14 Status FAM - obligasi ahli menuntut pasukan mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), AFC dan FAM pada setiap masa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 8:08 PM