FERNANDINHO sering menjadi pilihan utama Pep. FOTO/AFP
FERNANDINHO sering menjadi pilihan utama Pep. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Dalam kalangan pemain tengah Manchester City, Fernandinho sering menjadi pilihan utama pengurus, Pep Guardiola sejak aksi pembuka tirai Liga Perdana Inggeris.

Fernandinho akan bertemu bekas kelabnya, Shakhtar Donetsk pada awal pagi Khamis dengan City pastinya mahu bangkit selepas tewas mengejut 1-2 kepada Lyon di halaman sendiri sebelum ini.

Ketika itu, Guardiola digantung daripada berada di tepi padang namun selepas beliau kembali, City bagaikan melepas geram apabila mencipta sembilan kemenangan, seri 0-0 ketika bertemu Liverpool dalam 10 perlawanan terakhir mereka dan meledak 29 jaringan. Mereka hanya dibolosi dua gol dalam tempoh itu.

Walaupun memuji peranan dua tonggak pertahanannya Aymeric Laporte dan John Stones, Guardiola tetap menekankan falsafah kerjasama berpasukan dalam memastikan bola berada jauh daripada kawasan gawang City

"Selalu kami yakinkan pemain jika bola berada jauh dari gawang, kami selamat. Itu lebih baik. Jika bola berada dalam kawasan kotak penalti apa sahaja boleh berlaku,” kata Guardiola.

Beliau pasti akan sekali lagi menggunakan khidmat Fernandinho yang dilihat sesuai dengan falsafah kejurulatihannya.

“Fernandinho bukan saja mampu membaca perlawanan selain menguasai perlawanan, malah dia juga banyak membantu di bahagian serangan.

“Pastinya ada kaitan di setiap posisi. Apabila anda melakukan serangan dengan baik, anda akan bertahan dengan baik juga dan begitulah sebaliknya,” kata Guardiola.

Di sebalik berusia 33 tahun, Fernandinho diturunkan dalam kesemua 14 perlawanan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara musim ini manakala  David Silva, Leroy Sane, Bernardo Silva dan Raheem Sterling perlu mengikut polisi pertukaran pemain yang ditentukan Guardiola.

“Fernandinho sentiasa memberikan kegembiraan kepada mana-mana pengurus. Dia sangat istimewa dan saya cukup berbangga dapat bekerjasama bersamanya,” katanya.

Kemenangan ke atas Shakhtar akan mencerahkan peluang juara Inggeris itu mara ke peringkat 16 terakhir buat kali keenam berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 12:40 PM