SUPERKIP mahu kutip mata. FOTO/NSTP
SUPERKIP mahu kutip mata. FOTO/NSTP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Selepas kali pertama dan terakhir mengutip mata Mei lalu, Khairul Idham Pawi bertekad mengakhiri kemarau itu apabila berlumba dalam Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Pelumba IDEMITSU Honda Team Asia itu juga berharap untuk meningkatkan kemampuannya bagi mengharungi pusingan ke-18 musim yang juga kedua terakhir sebelum saingan Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 melabuhkan tirai di Valencia, 18 November ini.

"Saya akan cuba yang terbaik serta letak sasaran untuk mendapatkan mata dan sekiranya mampu, saya mahu lebih dari itu lagi (podium).

"Macam mana pun saya akan berusaha bagi menggembirakan penyokong tempatan yang akan mula membanjiri litar bermula Jumaat ini," kata pelumba dalam kelas Moto2 yang lebih dikenali sebagai SuperKIP itu.

SuperKIP setakat ini hanya mengumpul satu mata untuk berada di tangga ke-29 keseluruhan selepas menamatkan perlumbaan GP Perancis di tempat ke-15, Mei lalu.

Pada perlumbaan di Phillip Island minggu lalu, pelumba berusia 20 tahun itu menamatkan saingan di tempat ke-16.

"Prestasi di Phillip Island ada peningkatan dan harap akan ada lagi peningkatan minggu ini.

"Saya akan cuba dengan lebih baik untuk perlumbaan di laman sendiri untuk rakyat Malaysia," kata juara dalam kelas Moto3 di GP Argentina dan Jerman pada tahun 2016 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 5:50 PM