HAFIZH (kiri) akui tidak pernah kutip mata di Litar Phillip Island. -Foto Agensi
HAFIZH (kiri) akui tidak pernah kutip mata di Litar Phillip Island. -Foto Agensi
Sukhairi Thani


GRAND Prix (GP) Australia tidak pernah memihak kepada Hafizh Syahrin Abdullah sepanjang tiga musim penuh beraksi dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Bermula esok, pelumba PETRONAS Raceline itu sekali lagi bakal mengharungi cabaran di litar Phillip Island - trek yang menyaksikan dirinya tidak menamatkan perlumbaan sebanyak dua kali dan hanya berada di kedudukan ke-16 pada 2015.

Meskipun masih segar dengan penamat ketiga di GP Jepun minggu lalu, Hafizh seakan masih dihantui badi di trek 4.4 kilometer (km) yang menjadi antara cabaran paling sukar dalam kalendar perlumbaan.

“Sirkit Phillip Island antara yang paling sukar untuk saya,” kata Hafizh. “Saya tidak pernah meraih mata di sini.

“Tahun lalu, saya terkeluar sebaik saja perlumbaan bermula kerana Remy Gardner dan tidak mampu melengkapkan satu pusingan pun.

“Saya perlu berusaha gigih dan menggunakan sepenuhnya semua sesi yang ada bagi mencari pelarasan yang terbaik selain meningkatkan lagi corak tunggangan.

“Saya juga harap dapat melakukan yang terbaik di sini dan cuba membawa momentum yang ada sebelum mengharungi perlumbaan laman sendiri di Sepang, minggu depan.”

Selepas 15 pusingan, Hafizh sudah meraih dua penamat di podium - kedua di GP San Marino dan ketiga di Jepun - dan mengumpul 86 mata untuk berada di kedudukan kesembilan keseluruhan Moto2 ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 6:42 PM