MAURO ICARDI
MAURO ICARDI

MILAN: Mauro Icardi menjaringkan satu gol di setiap babak dalam kemenangan 3-0 Inter Milan ke atas Lazio di Rome, sekali gus membolehkan pasukannya memintas Napoli dan menghuni tangga kedua Serie A di belakang Juventus.

Kapten Inter itu menolak masuk gol pembukaan selepas 28 minit permainan dengan Marcelo Brozovic menambah gol kedua sebelum rehat.

Pemain Argentina itu meledak gol keduanya dan ketiga pasukan pada minit ke-70 di Stadium Olimpico, untuk Inter yang mengumpul 22 mata daripada 10 perlawanan, memintas Napoli berdasarkan perbezaan gol.

Napoli kendalian Carlo Ancelotti diikat 1-1 oleh Roma pada Ahad.

Inter dan Napoli masing-masing ketinggalan enam mata di belakang Juventus yang menewaskan Empoli 2-1 pada Sabtu dengan kedua-dua gol dijaringkan Cristiano Ronaldo.

“Kami berada di landasan yang betul,” kata Icardi selepas kemenangan liga keenam berturut-turut pasukannya dan gol keenam liga dirinya musim ini.

“Saya berada pada prestasi terbaik bersama Inter. Kami bermain baik, selain perlawanan dengan Barcelona (kekalahan 2-0 Liga Juara-Juara), dan mahu melakukan dengan lebih baik.

“Kami bukan anti-Juventus, kami hanya beberapa langkah untuk mencapai apa yang mereka lakukan beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi kami gembira dengan apa yang kami lakukan.” -

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 7:38 AM