ICARDI (kanan) jaring gol penyamaan Inter. -Foto EPA
ICARDI (kanan) jaring gol penyamaan Inter. -Foto EPA
AFP

MILAN: Jaringan kapten Mauro Icardi membantu Inter seri 1-1 di Bologna awal pagi tadi sekali gus menamatkan rekod sempurna pasukannya dalam musim baru Serie A Itali.

Pengurus Luciano Spalletti mengintai peluang meraih kemenangan kelima dalam lima perlawanan namun terpaksa berpuas hati dengan hanya satu mata di Bologna.

Gol menakjubkan jarak jauh Simone Verdi pada babak pertama hanya gol kedua dilepaskan Inter musim ini sebelum Icardi tampil menyempurnakan sepakan penalti yang dipersoalkan 13 minit sebelum tamat di Stadio Dall’Ara.

“Kami perlu menggunakan kelebihan suku jam terakhir,” kata Icardi selepas gol keenamnya musim ini. “Kami patut menjaringkan banyak gol lagi tapi kami tidak mampu menyudahkannya.

“Kini menentang Genoa (Ahad ini) kami perlu kembali dan menang di laman sendiri. Dengan sokongan peminat, kami mempunyai pemain tambahan. Kami perlu kembali untuk meneruskan rentetan positif.”

Inter muncul satu daripada pencabar utama kejuaraan untuk menyaingi Juventus dan Napoli yang turut memiliki mata maksimum selepas empat perlawanan.

Kini dengan 13 mata, Inter melonjak ke tangga teratas buat seketika namun Juventus dan Napoli boleh merampas semula kedudukan itu apabila masing-masing berdepan Fiorentina dan Lazio, awal pagi esok.

Kemenangan pasukan tangga keempat Lazio bagaimanapun akan menyaksikan kelab dari Rome itu terikat mata dengan Inter.

“Hilang dua mata, kami akan lihat apa yang silap minggu ini,” kata penyerang Inter, Eder.

“Kami perlu melihat diri sendiri bukannya Napoli dan Juventus, sasaran kami ke Liga Juara-Juara dan kami akan berjuang habis-habisan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 10:47 AM