PEP GUARDIOLA
PEP GUARDIOLA
AFP

KHARKIV, Ukraine: Manchester City mengembalikan semula ‘magis’ dalam kempen Liga Juara-Juara apabila David Silva dan Bernardo Silva masing-masing meledak gol ketika menang 3-0 ke atas Shakhtar Donetsk, awal pagi tadi.

Pengurus City, Pep Guardiola menyifatkan kemenangan di gelanggang lawan itu sebagai prestasi yang ‘menakjubkan.’

Skuad kendalian jurulatih dari Sepanyol itu sudah meraih dua kemenangan berturut-turut di pentas Eropah selepas tewas mengejut kepada Lyon dalam aksi pembukaan dan kini menghuni tangga teratas Kumpulan F.

Kelab Perancis, Lyon ketinggalan satu mata selepas diikat 3-3 kepada kelab Jerman, Hoffenheim.

“Di Eropah, 0-3, kami menakjubkan. Kami mencipta banyak peluang,” kata Guardiola kepada BT Sport. “Ia keputusan cukup cemerlang.”

Juara Inggeris itu berpotensi untuk mengesahkan tempat di peringkat 16 terakhir jika mereka menewaskan Shakhtar pada aksi timbal balik di Etihad dalam usaha memenangi gelaran sulung Liga Juara-Juara.

“Jika kami mampu menang perlawanan seterusnya, Shakhtar akan terkeluar,” kata Guardiola. “Selepas kekalahan kami di Lyon, kami berdepan tekanan yang besar. Saya amat gembira dengan prestasi kami.

“Kami sudah bersama tiga musim dan kini mengenali satu sama lain dengan lebih baik. Adalah normal jika kamu sudah bersama selama tiga tahun kamu akan lebih baik berbanding tahun pertama.”

David Silva meletakkan City di depan selepas setengah jam perlawanan berlangsung sebelum Aymeric Laporte menggandakan jaringan diikuti gol Bernardo Silva, kurang dua minit selepas dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Guardiola juga menyenaraikan bintang tengahnya, Kevin De Bruyne dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini selepas dua bulan disisihkan susulan kecederaan lutut.

“Kami bermain dengan lebih baik dalam setiap perlawanan,” kata David Silva yang kini sudah meledak empat gol musim ini. “Kami perlu meningkat lagi. Jika kami bermain seperti ini kami akan mendapat lebih mata.”

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:31 AM