PEP GUARDIOLA
PEP GUARDIOLA
AFP

CARDIFF: Pep Guardiola menegaskan skuad kendalian berhak dipuji selepas bangkit daripada kekecewaan di pentas Eropah untuk menang 5-0 ke atas Cardiff dalam aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi.

Guardiola kembali ke garisan tepi padang di ibu negara Wales yang menyaksikan juara Inggeris itu kembali meraih kemenangan, selepas kekalahan mengejut kepada Lyon dalam kempen Liga Juara-Juara di Etihad, minggu lalu.

Pengurus dari Sepanyol itu kembali mengemudi pasukannya di tepi padang selepas sekadar berada di tempat duduk penonton ketika bertemu Lyon, susulan penggantungan pada suku akhir menentang Liverpool di Liga Juara-Juara, musim lalu.

Begitupun, beliau tidak menganggap kehadirannya di tepi padang sebagai pencetus kejayaan pasukannya ketika bintang baharunya, Riyad Mahrez meledak dua gol termasuk jaringan sulungnya untuk City.

“Saya tidak bermain,” kata Guardiola selepas menyaksikan Sergio Aguero, Bernardo Silva dan Ilkay Gundogan turut mencetak nama selaku penjaring.

“Pengurus, kami berada di sana apabila mereka berada dalam sedikit kekeliruan, untuk menyokong mereka. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku terhadap mereka.

“Ia adalah pasukan yang sama, mereka terus bertindak balas, mereka adalah kumpulan pemain yang menakjubkan. Tetapi mereka mengetahui apabila situasi tidak begitu baik daripda sudut keputusan, semakin hampir saya dengan mereka.

“Mereka layak untuk menerima semua penghormatan daripada saya. Mereka membuatkan saya gembira sejak dua musim lalu, dan kerana itulah, saya sentiasa berada bersama mereka.”

City mendahului 3-0 pada babak pertama, sebelum Mahrez yang menggantikan Aguero selepas sejam perlawanan berlangsung meledak gol pertamanya sejak tiba dari Leicester pada Julai lalu.

Pemain dari Algeria itu baru dua kali disenarai dalam kesebelasan utama City dalam kempen liga.

Guardiola mengakui beliau akan membuka lebih banyak peluang untuk Mahrez dan pemain muda England, Phil Foden yang turut dimasukkan sebagai pemain gantian pada aksi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 1:58 PM