JESUS (tengah) merebut bola dengan pemain Arab Saudi. FOTO/AFP
JESUS (tengah) merebut bola dengan pemain Arab Saudi. FOTO/AFP
AFP

RIYADH: Brazil bergelut sebelum menang 2-0 ke atas tuan rumah, Arab Saudi selepas mempamerkan prestasi agak hambar dalam perlawanan persahabatan Riyadh, awal pagi tadi. 

Pemain Manchester City, Gabriel Jesus meledak gol pembukaan Brazil pada minit terakhir babak pertama dan Alex Sandro pula menanduk kencang bola sepakan sudut oleh Neymar untuk gol kedua, enam minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas ini, Brazil dijadualkan berdepan seteru utama, Argentina pada Selasa ini.

Pada Khamis lalu, Argentina yang beraksi tanpa pemain utama, Lionel Messi, menumbangkan Iraq 4-0  dalam satu lagi aksi persahabatan.

Brazil perlu lebih berhati-hati dalam pertembungan Selasa ini di Jeddah, selepas mereka gagal beraksi dengan baik ketika menentang Saudi. Bahkan, tuan rumah hampir meledak jaringan pada minit keenam, namun diselamatkan Casemiro.

Jesus, yang terlepas perlawanan ketika Brazil menang 2-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) dan El Salvador (5-0) bulan lalu, meraikan kepulangannya ke pangkuan pasukan kebangsaan dengan menjaringkan gol di babak pertama perlawanan.

Penjaga gol Saudi, Mohammed Al Owais menyelamatkan percubaan menerusi tandukan, namun bola muntah itu pantas disambar Neymar dan menolak bola ke arah Jesus untuk menjaringkan gol pada minit ke-43.

Pemain Tottenham, Lucas Moura juga hampir melakukan jaringan, selepas menerima satu lagi hantaran menarik Neymar.

Bahkan, Neymar juga mempunyai peluang terbaik beberapa minit sele\pas ini apabila dia melakukan rembatan dari kawasan penalti.

Saudi menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Al-Owais dibuang padang, 10 minit sebelum wisel penamat selepas memegang bola di luar kotak penalti, selepas menerima tekanan Richarlison.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 7:20 AM