MESSI mengambil sepakan penalti menentang Brazil di Riyadh, awal pagi tadi. — FOTO AFP
MESSI mengambil sepakan penalti menentang Brazil di Riyadh, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi menyumbat gol tunggal ketika kembali ke tugasan antarabangsa awal pagi tadi selepas penggantungan tiga bulan membantu Argentina mengatasi musuh utama Brazil 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Riyadh.

Penyerang Barcelona itu digantung CONMEBOL kerana mendakwa badan induk bola sepak Amerika Selatan itu “rasuah” apabila dia dibuang padang pada penentuan tempat ketiga Copa America Julai lalu menentang Chile.

Messi menjaringkan gol tunggal perlawanan di Stadium King Saud pada minit ke-13 apabila merembat kembali sepakan penalti yang ditampan penjaga gol Brazil, Alisson.

Gol itu hadir sejurus selepas penyerang Manchester City, Gabriel Jesus gagal menyempurnakan penalti buat Brazil, yang bermain tanpa Neymar kerana cedera.

MESSI dan rakan sepasukan bergambar bersama trofi selepas menundukkan Brazil pada aksi persahabatan. — FOTO Reuters
MESSI dan rakan sepasukan bergambar bersama trofi selepas menundukkan Brazil pada aksi persahabatan. — FOTO Reuters

Rodrygo, pemain berusia 18 tahun yang menjaringkan hatrik sensasi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid bulan ini, membuat penampilan sulung buat Brazil ketika dia menggantikan Willian 20 minit sebelum tamat.

Bagaimanapun Brazil gagal mencari gol penyamaan ketika kemarau kemenangan mereka berterusan kepada lima perlawanan sejak menjuarai Copa America.

“Penting untuk menang dan sentiasa bagus jika menewaskan Brazil kerana permusuhan kami, ia memberi satu kepuasan,” kata Messi.

“Ia sesuatu yang bagus untuk akan datang, terus meningkat menjelang kelayakan Piala Dunia dan Copa America akan datang (pada 2020).”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 10:11 AM