KIMMICH masih lagi diperlukan Bayern. FOTO AFP
KIMMICH masih lagi diperlukan Bayern. FOTO AFP
AFP

Berlin: Pemain tengah Jerman, Joshua Kimmich bersedia menandatangani kontrak baru dengan Bayern Munich.

Musim baru Bundesliga akan bermula 13 Ogos dengan Kimmich bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan penyandang juara itu berdepan Borussia Moenchenglabach.

Menurut beberapa laporan media Jerman, Kimmich, 26, bersedia untuk menyambung kontrak selama tiga tahun bagi membolehkannya kekal di Bayern sehingga 2026.

Akhbar harian Jerman, Bild mendakwa perjanjian terbaru Kimmich mampu mencecah €20 juta (RM99 juta) setahun menjadikannya antara salah seorang daripada pemain termahal Bayern.

Bayern ingin mengekalkan Kimmich, selepas menjadi salah satu pemain tengah terbaik Eropah sejak berpindah ke Munich dari seteru Bundesliga, RB Leipzig pada tahun 2015.

Kedua-dua pemain tengah Jerman, Leon Goretzka dan pemain sayap Perancis, Kingsley Coman, yang kedua-duanya akan tamat kontrak pada Jun tahun depan, tidak sabar untuk menandatangani lanjutan kontrak baru.

Bayern tidak mahu perkara yang sama berlaku musim lalu berulang, apabila pertahanan Austria, David Alaba meninggalkan pasukan untuk ke Real Madrid secara percuma selepas permintaannya tidak ditunaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 11:22 AM