THIAGO cedera menjelang aksi UCL. FOTO/AGENSI
THIAGO cedera menjelang aksi UCL. FOTO/AGENSI
AFP

MUNICH: Bayern Munich bergelut untuk mencari pengganti terbaik Thiago Alcantara yang mengalami kecederaan menjelang kunjungan AEK dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis dalam usaha mengesahkan tiket ke pusingan kedua.

Bayern mampu melangkah ke pusingan kalah mati jika menewaskan AEK di Allianz Arena dan Benfica tewas kepada Ajak dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E.

Bagaimanapun Bayern dilihat bergelut untuk mendapatkan pemain yang kreatif sejak Thiago mengalami kecederaan ligamen buku lali 10 hari lalu dan Joshua Kimmich yang kebiasaannya beraksi di posisi pertahanan, bergelut untuk menggantikan tempat Thiago di tengah.

Kovac mempunyai beberapa pilihan untuk menggantikan tempat Thiago ketika bertemu AEK seperti  Rodriguez, Renato Sanches atau Leon Goretzka.

Bagaimanapun masalah lebih besar adalah pengkritik berasakan jurulatih, Niko Kovac berada dalam situasi bahaya untuk kehilangan jawatannya itu.

“Jurulatih dinilai berdasarkan keputusan dan tidak semua pemain berada di belakang Kovac dan ia situasi yang berbahaya,” kata bekas pemain tengah Bayern dan Jerman, Lothar Matthaeus.

Media melaporkan pemain senior seperti Thomas Mueller, Mats Hummels, Franck Ribery dan Arjen Robben tidak gembira dengan corak latihan Kovac.

Antara masalah utama adalah untuk memberi ruang kepada semua pemain bintang itu beraksi dengan Mueller dan Hummels dikatakan kurang gembira dengan jumlah permainan mereka diturunkan.

Robben pula dilihat kecewa selepas dikeluarkan ketika seri bertemu Freiburg, Sabtu lalu, iaitu kali kelapan dia dikeluarkan sepanjang 13 perlawanan musim ini.

Jentera serangan Bayern dilihat tumpul dan Kovac sendiri seperti tidak mempunyai jalan penyelesaian berhubung masalah itu.

“Kami kurang menyinar di bahagian serangan. Situasi sama juga agak sukar di bahagian tengah.

“Jelas sekali ia bukanlah yang saya mahukan. Segala-galanya kini dipersoalkan oleh media dan saya memahami perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 12:37 PM