CHRISTIAN ERIKSEN
CHRISTIAN ERIKSEN
AFP

AARHUS: Christian Eriksen meledak dua gol ketika Denmark menang 2-0 ke atas Wales, di saingan Liga Negara-Negara Eropah dengan pasukan utama mereka kembali beraksi selepas melakukan boikot minggu lalu, berikutan isu pertikaian kontrak.

Eriksen yang juga pemain tengah Tottenham, meletakkan Denmark di depan pada minit ke-32. Dia kemudian menambah gol kedua pada minit ke-63, menerusi sepakan penalti.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Age Hareide memimpin saingan peringkat kumpulan yang turut disertai Ireland. 

Sebelum ini, persiapan Denmark untuk saingan itu terjejas, berikutan pertembungan antara kesatuan bola sepak pemain dan Persatuan Bolasepak Denmark (DBU) berhubung hak penyiaran komersial.

Isu itu menyebabkan Denmark membariskan pemain yang beraksi di liga bawahan serta pemain futsal. Akibatnya mereka tewas 0-3 kepada Slovakia pada perlawanan pertama.

Kedua-dua pihak kemudian mencapai persetujuan bersama.

“Tidak kisah apa yang berlaku sepanjang minggu ini, saya rasa inilah yang saya mahukan,” kata Eriksen.

“Kami mahu bemain, memenangi perlawanan dan bermula dengan baik pada saingan ini. Ia adalah permulaan yang baik untuk menamatkan minggu yang agak sukar bagi kami,” katanya.

Manakala, Wales di bawah bimbingan Ryan Giggs berdepan kesukaran selepas penerbangan mereka beberapa kali tertangguh sehingga terpaksa membatalkan sesi sidang media sebelum berlangsungnya perlawanan.

“Sudah tentu sangat kecewa kerana kami tewas. Kami mahu memenangi perlawanan ini tetapi apapun kami tetap kekal positif,” kata Giggs.  

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 8:28 AM