JOHN Beasley bersama Azizulhasni Awang. FOTO arkib NSTP
JOHN Beasley bersama Azizulhasni Awang. FOTO arkib NSTP
Haika Khazi


KETUA jurulatih basikal kebangsaan, John Beasley enggan meletakkan sasaran tinggi kepada skuad negara yang bakal menyertai enam siri perlumbaan Piala Trek Dunia di Eropah bermula di Perancis, minggu depan.

Bagaimanapun, Beasley tetap berharap barisan lima pelumba negara diketuai Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa dapat meningkatkan prestasi ke tahap optimum bagi mengumpul  mata untuk berada dalam kelompok lapan terbaik bagi layak ke Kejohanan Trek Dunia dan Asia tahun depan.

Tiga lagi pelumba turut disenaraikan ke Siri Piala Trek Dunia ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Farina Shawati Mohd Adnan.

"Jika pelumba kita berada dalam kelompok lapan terbaik dunia acara keirin, pecut dan pecut berpasukan maka peluang untuk layak secara automatik ke Kejohanan Trek Dunia dan Asia lebih cerah.

"Jika layak ke Kejohanan Trek Dunia dan Asia, peluang mereka untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pula lebih cerah kerana mata ditawarkan semakin banyak," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.

Bagaimanapun, Beasley mengakui peluang pelumba negara untuk menyerlah di peringkat awal saingan di Perancis minggu depan agak sukar kerana mereka baharu sahaja memulakan latihan kerana berehat panjang selepas Sukan Asia tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 2:41 PM