ROBERT LEWANDOWSKI
ROBERT LEWANDOWSKI
AFP

BERLIN: Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski akhirnya membuka mulut susulan kontroversi yang mengatakan dia mahu meninggalkan gergasi Jerman itu pada Mei lalu.

“Pada April, Mei, hampir semua orang ‘menembak’ saya,” kata Lewandowski yang mencecah usia 30 tahun, hari ini kepada majalah Sport Bild.

“Saya tidak dapat rasa sebarang perlindungan daripada kelab dan berasa bersendirian dalam situasi ini. Saya tidak menjaringkan gol dalam dua atau tiga kejohanan penting dan secara tiba-tiba, ‘semua tembakan ditujukan kepada Lewandowski'.

“Saya tidak dapat melihat sesiapapun berada di belakang saya ketika itu. Tiada seorang pun bos mempertahankan saya,” katanya sambil merujuk kepada Presiden Bayern, Uli Hoeness dan Pengerusi, Karl-Heinz Rummenigge.

Ini kali pertama penyerang prolifik kelahiran Poland itu memberi komen mengenai kontroversi meninggalkan Bayern dengan beberapa watak senior kelab berulang kali berkata tiada sebarang harapan untuk melihatnya keluar sebelum kontraknya berakhir pada 2021.

Selepas memenangi lapan gelaran sepanjang empat tahun bersama Bayern, Lewandowski dikritik hebat pada April dan Mei lalu selepas gagal menjaringkan gol pada suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Sevilla dan Real Madrid.

Lewandowski yang juga penjaring terbanyak Bundesliga pada musim lalu selepas menyumbat 29 gol dalam 30 aksi liga mencipta kejutan apabila ejennya, Pini Zahavi mendedahkan dia ingin ‘mencari cabaran baharu.’

Begitupun, susulan sokongan daripada peminat Bayern yang memberikannya motivasi baharu, Lewandowski berkata dia kini bersedia untuk menjulang lebih banyak gelaran bersama kelab itu yang membuka tirai kempen Bundesliga menentang Hoffenheim Jumaat ini.

“Saya meletakkan kembali hati saya kepada Bayern. Saya menyedari di Munich bagaimana peminat berada di belakang saya dan mereka masih mahukan saya.”  

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 12:16 AM