QABIL AMBAK MAHAMAD FATHIL
QABIL AMBAK MAHAMAD FATHIL
Daripada Oleh Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


JAKARTA: Ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil memberi khabar gembira apabila mendahului pusingan kelayakan acara dressage, di sini, hari ini.

Dia kembali membuat penampilan luar biasa di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 selepas lapan tahun tidak beraksi di temasya terbesar Asia ini.

Qabil yang kali ini beraksi bersama kudanya, Rosentolz berada di kedudukan teratas aksi kelayakan Prix St-Georges dengan catatan 74.881 mata.

Dia mengatasi pencabar terdekat, Kim Hyeok dari Korea Selatan yang memungut 71.235 mata. 

Aksi bersama kuda berusia 12 tahun bernilai RM800,000 itu berjaya menampilkan aksi cemerlang mengatasi kuda lain dari Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong.

Atlet berusia 38 tahun itu mengakui sangat terkejut dengan markah tinggi diberikan hakim semasa aksi kelayakan kerana ia jarang berlaku pada pusingan awal.

"Jarang sekali pengadil memberikan markah tinggi dalam aksi kelayakan, mungkin mereka menyukai kuda saya dan memang diakui tanggapan pertama sangat penting dalam acara ini.

"Saya perlu kekalkan momentum ini dalam aksi berikutnya dan cuba mengelakkan daripada melakukan sebarang kesilapan," katanya.

Qabil mengakui bahawa dia sememangnya mengimpikan pingat emas di dalam acara itu selepas dua kali meraih gangsa dalam acara individu di temasya Guangzhou 2010 dan Doha 2006 selain perak dalam acara berpasukan di Bangkok 1998.

"Memang saya mengimpikan pingat emas di temasya ini dan saya percaya dengan catatan 70 markah ke atas, peluang untuk saya meraih pingat itu ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:31 PM