Atlet Ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil. FOTO File NSTP
Atlet Ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Walaupun gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, jaguh ekuestrian negara Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil masih belum bersedia untuk mengalah terus, sebaliknya tumpuannya kini beralih kepada Olimpik Paris tiga tahun dari sekarang.

"Sekiranya saya mendapat sokongan kewangan yang kukuh, insya Allah kita akan cuba sekali lagi di Paris 2024," katanya.

Sebelum ini penunggang berusia 41 tahun itu terlepas peluang untuk ke Olimpik Tokyo selepas menamatkan saingan di bawah markah kelayakan pada acara Dressage Antarabangsa CDI di Le Mans, Perancis, Jumaat lalu.

Beliau perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 66 peratus di Le Mans untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo, namun beliau hanya berupaya memungut markah 64 peratus, kurang dua peratus untuk mencipta sejarah selaku atlet pertama ekuestrian negara menyertai temasya sukan antarabangsa itu.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mengaku bahawa kurang persediaan dan kesuntukan masa bersama kudanya, Delatio, adalah antara sebab yang menyumbang kepada kegagalannya untuk melayakkan diri ke Olimpik Tokyo.

"Saya tidak dapat 'synchronise' dengan kuda (Delatio)… hampir setahun setengah saya tidak menunggang kuda itu, saya percaya ini menjejaskan prestasi saya di Le Mans," tambahnya.

Qabil Ambak yang tiba di Denmark dari Singapura pada 11 Jun, mempunyai masa kurang dari seminggu untuk berlatih dengan Delatio di Aarhus, sebelum mengambil bahagian di Le Mans.

Walaupun kecewa dengan kegagalannya, beliau amat berbesar hati kerana memperoleh pengalaman berharga di Le Mans, dan beliau turut menyuarakan penghargaan kepada jurulatih, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara yang bertungkus lumus berusaha memastikan beliau menyertai acara itu.

Awal bulan ini, Qabil Ambak dinamakan sebagai pengganti dalam acara dressage oleh FEI (Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa) selepas satu daripada dua penunggangnya yang layak ke Olimpik Tokyo menerusi Kumpulan G Kejohanan Kelayakan untuk Zon Asia Tenggara dan Oceania pada 2019 menarik diri baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 6:09 PM