SETIAUSAHA Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad. FOTO Osman Adnan
SETIAUSAHA Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad. FOTO Osman Adnan
Aziman Rosdi


SETIAUSAHA Agung Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), Datuk Azzuddin Ahmad menggesa semua pihak supaya menghentikan daripada membuat sebarang kenyataan berbaur provokasi yang boleh memburukkan situasi tegang di Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun di Surabaya, Indonesia.

Beliau berkata, 'perang' antara penyokong Indonesia dan Malaysia di media sosial perlu dihentikan kerana permusuhan dalam bola sepak antara kedua-dua negara amat sengit.

"Memandangkan persaingan sengit antara Indonesia dan Malaysia, AFF berharap semua wakil pasukan akan menahan diri daripada membuat kenyataan provokasi di media sosial yang akan memburukkan keadaan,” jelas Azzuddin.

Kontroversi melanda Kejohanan AFF B-16 d Surabaya apabila penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat 'Malaysia itu anjing' dan juga 'Amirul itu anjing' ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Joko Samudro, Isnin lalu. 

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus susulan pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan ketika memegang bendera.

Berikutan insiden itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menghantar surat bantahan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan AFF, memohon supaya tindakan tegas diambil.

Azzuddin yang juga bekas Setiausaha Agung FAM berkata, pihaknya ketika ini dalam proses mengumpulkan semua bukti berkaitan insiden terbabit sebelum sebarang keputusan dibuat di bawah AFC.

“Sebelum kejohanan ini bermula, AFF sudah mengambil setiap langkah keselamatan, melalui hubungan rapat kami dengan PSSI (Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia) untuk mengelak daripada berlakunya kejadian buruk.

“Keselamatan pemain dan pegawai tetap menjadi perkara utama dalam organisasi setiap kejohanan AFF dan kami akan mengambil setiap langkah yang diperlukan," katanya.

Tahun lalu, FAM didenda AS$30,000 (RM121,000) oleh AFC apabila penyokong Malaysia melaungkan sorakan 'anjing' kepada penyokong Brunei dan Singapura pada Sukan SEA 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 6:58 PM