PEMAIN skuad bawah 16 tahun negara ketika beraksi menentang Brunei. FOTO Agensi
PEMAIN skuad bawah 16 tahun negara ketika beraksi menentang Brunei. FOTO Agensi
Aziman Rosdi


JURULATIH skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Raja Azlan Shah Raja Sho’ib percaya anak buahnya sudah bersedia mengharungi ‘gelora’ menentang musuh ketat, Indonesia pada aksi separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018, esok.

Perlawanan tumpuan di Stadium Gelora Delta Sidoarjo itu menjadi kenyataan apabila Malaysia muncul naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Laos 1-0 pada aksi terakhir, semalam manakala pasukan tuan rumah unggul dengan rekod bersih lima kemenangan sebagai juara Kumpulan A.

Malah, insiden penyokong tuan rumah melaungkan kata-kata kesat ‘Malaysia itu anjing’ dan juga ‘Amirul itu anjing’ ketika skuad negara turun beraksi menentang Thailand pada 30 Julai lalu pasti membayangi aksi esok.

Tindakan penyokong Indonesia itu tercetus gara-gara pemain muda negara, Amirul Ashrafiq Hanifah dituduh menghina bendera Indonesia apabila meletakkan bendera terbalik dalam Instagram Story miliknya ketika membuat ucapan ringkas sebelum berlepas ke Surabaya.

Namun, Amirul sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka dan menjelaskan ia bukan provokasi sebaliknya hanya kesilapan meletakkan bendera Poland.

Malah, ini kali kedua skuad muda negara berdepan Indonesia di separuh akhir selepas skuad B-19 mengalahkan pasukan tuan rumah di stadium sama menerusi sepakan penalti 3-2 selepas aksi sebenar terikat 1-1 pada 13 Julai lalu.

Kekalahan itu sukar diterima penyokong tuan rumah yang bertindak membaling batu dan botol ke arah pemain serta pegawai selepas tamat permainan.

Di sebalik semua insiden itu, Raja Azlan bagaimanapun yakin semua pemain kekal fokus meskipun bakal berdepan provokasi penyokong tuan rumah.

“Menentang Indonesia, kami akan bermain mengikut kekuatan kami dan bermain seperti biasa tanpa ada apa-apa masalah. Saya percaya pemain kami cukup bersedia.

“Tak perlu risau kerana tahap keselamatan terjamin. Namun mereka ini pemain muda berbakat yang belum masa lagi layak untuk dimaki hamun tanpa sebab. Mereka ini  perlu kita beri sokongan moral  dalam proses pembangunan mereka,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP di Surabaya, hari ini.

Malah, Raja Azlan mengakui menentang Indonesia yang meledak 21 gol dalam lima perlawanan bakal menjadi ujian sebenar kepada anak buahnya selepas melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Laos semalam.

Terdahulu, skuad kendaliannya bangkit susulan kekalahan 1-2 di tangan Thailand pada aksi pembukaan dengan menumpaskan Brunei 6-1 dan Singapura 4-0.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah merangkul kejuaraan ini pada 2013 di Myanmar dengan menewaskan Indonesia menerusi sepakan penalti 3-2 apabila permainan sebenar terikat 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 5:21 PM